Khamis, 8 April 2010

Fiqh Dakwah

Fiqh Dakwah

Fiqh dan dakwah adalah suatu instrumen yang tidak boleh dipisahkan oleh seorang faqih.Bahkan boleh di katakan suatu kewajipan kepada semua golongan yang mempelajari ilmu syariat islam.Seseorang yang menyampaikan suatu hukum, ataupun fatwa perlulah mengetahui cara-cara yang munasabah dengan bersesuaian dengan pendengar dan masyarakat awam.

Antara kepentingan yang dapat kita lihat disini adalah supaya si pendengar yang tidak berkecil hati dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh penyebar-penyebar ilmu Allah.Mahukah kita lihat manusia lari daripada islam disebabkan perkara-perkara begini.Fiqh dakwah ini amatlah bertepatan dengan keagungan islam itu sendiri.Maka, mereka yang tidak mengambil berat perkara-perkara begini seolah-olah mereka menzahirkan kepada masyarakat perkara yang berlawanan dengan keagungan islam bahkan mampu mendatangkan fitnah kepada islam itu sendiri.

Menyingkap sejarah yang berlaku pada zaman nabi s.a.w, terdapat satu hadis ketika mana seorang arab badwi telah kencing di masjid.Lalu nabi s.a.w menjiruskan air pada kencing tersebut tanpa memarahi arab lelaki tersebut.

Berdasarkan hadis ini, nabi s.a.w menyampaikan sesuatu dengan uslub dakwah yang baik.Nabi tidak menyuruh arab badwi tersebut pergi dalam mana tengah melepaskan kencingnya di masjid, bahkan membiarkan arab badwi tersebut sehingga selesai berhadas.Bayangkan jika nabi s.a.w terus menghalau badwi tersebut ketika mana dia sedang berhadas, tidakkah ianya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar. Iaitu menyebabkan najis tersebut merebak dalam kawasan masjid dengan lebih besar.

Satu contoh analogi yang cuba saya berikan.Seseorang yang mempunyai penyakit selsema babi.Ada dua sahabat telah datang kepadanya dengan membawa buah lemon.Yang mana kandungan lemon tersebut dipercayai mempunyai vitamin yang mampu menyembuhkan penyakit tersebut.Sahabat yang pertama datang dengan membawa buah lemon, kemudian beliau terus memasukkan buah lemon tersebut ke mulut sahabatnya yang sakit itu.Sahabat kedua datang dengan membawa buah yang sama , kemudian beliau mengupas buah tersebut, memotongnya dan meletakkannya kedalam pinggan.Kemudian baru diberikan kepada sahabatnya yang sakit itu.Seseorang yang memahami uslub dakwah dapat kita gambarkan melalui sahabat yang kedua, manakala mereka yang tidak memahami uslub dakwah dapat kita gambarkan sahabat yang pertama itu.

Cuba anda bayangkan seorang pendakwah itu menegur seorang pakcik tua yang sering mengisap rokok di dalam kehidupannya.Adakah cukup sekadar mengatakan perbuatan merokok itu haram, dan memasukkan si perokok itu ke neraka ???Apakah yang dirasakan pakcik tua itu???Jika asal teguran itu mahu membawanya kepada islam sudah tentu yang akan terjadi adalah sebaliknya.

Akhlak

Seorang yang tugasnya menyebarkan ilmu Allah sebenarnya menjadi ikutan kepada masyarakat.Sebagai mana ulama-ulama adalah perawis nabi,begitu juga dengan mereka yang menyebarkan ilmu Allah S.W.T.Segala perlakuan ,pemakaian dan segala aspek zahir seseorang itu, sudah tentu menjadi perhatian masyarakat awam.Menjaga segala pandangan masyarakat itu sangat penting.Jika ianya ditinggalkan, sudah tentu mendatangkan mafsadah yang besar kepada islam.Sebagai contoh : pelajar wanita lepasan syariah, bersalaman dengan rais universiti ketika majlis penerimaan sijil.Adakan ini yang digambarkan sebagai seseorang yang mempelajari ilmu hukum hakam, namun melakukan perkara dosa tersebut yang telah jelas pengharamannya.Apakah yang akan dinilai pelajar-pelajar jurusan selain syariah yang tidak mendalami hukum hakam syariat islam yang agung itu.

Khamis, 1 April 2010

Zakat saham syarikat

Saham adalah suatu instrumen yang membentuk bahagian-bahagian di dalam permodalan sesuatu syarikat.Saham mempunyai beberapa nilai iaitu nilai nominal,nilai modal, nilai sebenar, nilai perniagaan.

Ulama telah berselisih pendapat bilakah saham dikira sebagai harta perniagaan urudh tijari dan bilakah ianya dikira sebagai mustaghillat.
Hukum memiliki saham.

Kebanyakkan ulama telah bersepakat didalam membolehkan seseorang memiliki saham di dalam sesuatu syarikat.Ini kerana asas pemilikan saham dalam islam adalah didasari dengan hukum shirkah.Ulama juga telah meletakkan syarat-syarat didalam memiliki saham yang halal disisi syariat islam,antaranya :

1.syarikat tersebut mestilah mempunyai tujuan perniagaan yang disayriatkan,yang mana perniagaan syarikat tersebut mestilah halal disisi syariat islam

2.Syarikat tersebut mesti mematuhi syarat serta rukun yang telah ditetapkan oleh syara’.

Perkara-perkara yang berkaitan tentang zakat saham syarikat :
• Bilakah diwajibkan zakat pada saham syarikat tersebut?
• Siapakah yang wajib mengeluarkannya?
• Adakah di syaratkan cukup tempoh “haul”? Apakah nisbah zakat saham tersebut?

Bilakah diwajibkan zakat pada saham syarikat :

Ulama telah berselisih pendapat di dalam masalah ini :

1.(Muhammad Abu Zahrah,Abd Rahman Hasan,abd wahhab khilaf) Semua saham merupakan harta perniagaan, tanpa melihat kepada tujuan pemilikan saham tersebut.Ini kerana, semua saham adalah merupakan harta perniagaan dan boleh untuk dijual beli seperti barang-barang perniagaan yang lain.Maka diwajibkan zakat padanya serta keuntungan daripadanya.

2.(Syeikh Mustafa Zarqa) Saham yang diiktibar sebagai harta perniagaan adalah saham yang dimiliki secara perniagaan seperti jual beli.Maka diwajibkan zakat pada saham tersebut serta perkembangannya.Jika ianya dimiliki melalui pulangan dari segi keuntungan tahunan atau musim,maka ianya dikira sebagai mustaghilat dan tidak diwajibkan zakat pada saham tersebut melainkan pada hasilnya.

3.(Abd Rahman Hasan)Sebahagian ulama muasarah berpendapat saham-saham syarikat perkilangan seperti : syarikat pengeluaran kereta, motor dan selainnya dikira sebagai harta perniagaan (urudh tijari) tetapi nilainya ditetapkan berdasarkan nilai seperti bangunan, mesin-mesin pengeluaran, dan peralatan-peralatan lain.

4.(Syeikh Yusof Al-Qardhawi) Saham dikira sebagai harta perniagaan (urudh tijari).Diwajibkan zakat terhadap saham tersebut serta perkembangannya jika syarikat tersebut melakukan aktiviti perniagaan,sama ada industri perkilangan mahupun bukan syarikat industri perkilangan.
Berdasarkan perselisihan ulama ini,kebanyakkannya telah bersepakat bahawa saham adalah termasuk didalam harta perniagaan.Maka diwajibkan zakat ke atasnya dan perkembangan saham tersebut.

Namun,mereka telah berselisih pendapat didalam menentukan bilakah saham tersebut dikira sebagai harta perniagaan (urudh tijari) dan bilakah ianya tidak.
Pendapat yang pertama – tidak membezakan antara jenis-jenis saham,dan mengiktibar semua jenis saham syarikat adalah harta perniagaan

Pendapat yang kedua – membezakan antara saham-saham harta perniagaan,dan antara saham-saham yang dikira sebagai mustaghillat.Namun ulama telah berselisih pendapat pada pendapat yang kedua ini pada saham syarikat perkilangan dan syarikat yang menyerupai perkilangan.Jumhur ulama dalam pendapat yang kedua mengatakan nilainya daripada peralatan kilang tersebut seperti mesin-mesin dan sebagainya.Manakala Dr Yusof Al-qardhawi berpendapat bahawa peralatan-peralatan kilang tersebut tidak dikira dalam kewajipan zakat.

Maka, perselisihan ulama yang di sebutkan sebentar tadi,dapat di pecahkan kepada 2 pendapat :

Pendapat 1 – tidak mewajibkan zakat pada nilai syarikat tersebut,namun wajib zakat pada perkembangannya sahaja.(jumhur ulama muasarah)

Pendapat 2 – wajib zakat pada nilai syarikat tersebut dan perkembangannya.
Dalil pendapat 1 :

• Istishab, tidak disebutkan dalam nas-nas syarie mewajibkan zakat keatasnnya.

Menjawab daripada dalil ini,sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman:
(خذ من أموالهم صدقة)
Yang bermaksud :
ambillah sedekah daripada harta-harta mereka

Termasuk daripada ayat-ayat ini mustaghillat kerana ianya juga merupakan harta seperti mana yang disebutkan di dalam ayat.

• Nabi s.a.w bersabda :
(قد عفوت عن صدقة الخيل و الرقيق)
Dalil di atas menunjukkan bahawa hamba dan kuda adalah daripada harta (mustaghillat) dan nabi mengecualikannya daripada zakat,dan begitu juga dengan selain harta-harta(mustaghillat).

Menjawab dalil hadis nabi di atas, yang dimaksudkan didalam hadis adalah harta yang diperolehi kemudian tidak diniagakan dan (yastaghillu).

• Ijmak ulama terdahulu tidak ada yang mewajibkan zakat (mustaghillat).
Menjawab dalil di atas, sesungguhnya saidina Umar telah mengeluarkan zakat pada kuda ketika mana nilai kuda tersebut telah menyamai sejumlah wang yang besar.
Dalil pendapat 2 :

• Dalil kewajipan zakat harta adalah umum, seperti mana dalil-dalil di bawah :
Firman Allah taala :
(خذ من أموالهم صدقة)
Yang bermaksud :
ambillah sedekah daripada harta-hrta mereka

Dan hadis nabi s.a.w :
(اتقوا الله ربكم و صلوا خمسكم و صوموا شهركم و أدوا الزكاة أموالكم)
Yang bermaksud :
bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu, tunaikan solat lima waktu,berpuasalah dibulan ramadhan, dan tunaikanlah zakat harta kamu.

• Illah kewajipan zakat pada harta adalah berkembang. Maksud berkembang disini bukanlah semata-mata makna perkembangan, tetapi harta itu sendiri telah sedia ada berkembang sama ada secara semula jadi seperti emas dan perak, atau dipelihara seperti mengembala haiwan (disisi jumhur). Illah yang disebutkan ini wujud pada saham, maka wajib zakat padanya.

*kesimpulan daripada perbahasan ini, saham-saham ini diwajibkan zakat pada keuntungan serta nilai saham itu sendiri selagi mana peniga itu menjadikannya sebagai perniagaan sama ada ianya syarikat perkilangan atau syarikat jual beli.

Siapakah yang wajib mengeluarkannya?

Terdapat beberapa pendapat ulama di dalam masalah ini :
1. Wajib ke atas pemilik saham
2. Wajib ke atas syarikat tanpa pemilik saham
3. Wajib ke atas syarikat serta pemilik saham
Sebab perselisihan pendapat antara ulama :

Permasalahan ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan perbahasan ulama yang terdapat di dalam kitab-kitab fiqh terdahulu.Mereka yang mewajibkan terhadap pemilik saham tanpa syarikat melihat zakat adalah berkaitan dengan pemilik harta dan bukan pada harta itu. Pendapat yang mewajibkan zakat pada syarikat tanpa pemilik saham melihat zakat adalah berkaitan dengan harta dan bukan pada pemiliknya.

*Di dalam permasalahan ini, kewajipan zakat pada asalnya adalah terhadap mukallif itu sendiri, dan tidak ada larangan jika tanggungan membayar zakat itu di bayar oleh syarikat.Antara sebab-sebabnya ialah :
• Zakat diwajibkan terhadap pemilik harta, dan pemilik saham adalah pemilik yang sebenar
• Di antara syarat zakat adalah mestilah melalui tempoh, maka setiap pemilik saham berlainan tempoh(haul) antara pemilik saham yang lain berdasarkan tarikh mereka miliki saham itu.
• Diantara saham-saham yang menjadikan pemiliknya terkecuali daripada zakat adalah saham-saham wakaf.

Adakah di syaratkan cukup tempoh “haul”?

Pendapat yang mewajibkan zakat ke atas syarikat tidak mensyaratkan cukup nisob serta tempoh “haul”.Manakala mereka yang mewajibkan zakat ke atas pemilik saham tanpa syarikat mensyaratkan dengan cukup nisob dan tempoh “haul” iaitu melalui satu tahun.

Apakah nisbah zakat saham tersebut?

Jika saham itu dikira sebagai urudh tijari, maka nisbahnya adalah 2.5 %
Jika ianya di kira sebagai mustaghillat, maka nisbahnya adalah berdasarkan keuntungan 10 % kias dalam masalah zakat tanaman dan buah-buahan selepas ditolak kerosakan pada mesin-mesin pengeluaran.

1. Urudh tijari : عروض التجاري
2. Mustaghillat : zakat alat-alat dan mesin yang digunakan untuk mengeluarkan produk @ bangunan dan rumah yg disewa.
3. Shirkah : Perkongsian

Rujukan :
1. Fiqh zakat , Dr Yusof Al-Qardhawi
2. Fiqh mustajiddat fi bab al-ibadat , Thahir Yusof Siddiq
3. www.zaharuddin.net

Disediakan : Azmuddin Bin Razali,pelajar tahun 2 fiqh wa usul,university Mu’tah

Rabu, 10 Mac 2010

fleksibliti dalam syariat islam

Kelas tafaquh : Dr Syuwess Mahamid

Antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa hukum fiqh itu murunah dalam erti kata fleksibel ialah :

1. Nabi s.a.w ketika mana mengaharamkan kota Makkah (1) , seperti mengaharamkan sesorang itu memburu binatang dan mencabut tanam-tanaman. Maka terdapat seorang sahabat berkata kepada Rasulullah : Wahai Nabi, sesungguhnya kami berhajat kepada (udkhur).Kemudian Nabi s.a.w berkata : melainkan (udkur)

Maka ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w meraikan waki’ dalam erti kata yang mudah hukum fiqh adalah bersifat menerima kepada pembaharuan.Maka inilah yang di namakan muasarah.

Orang yang faqih mestilah bersifat mengetahui apakah makna disebalik penurunan sesuatu.Bukan sekadar mengetahui hukum sesuatu perkara itu sahaja.

2. Ketika mana nabi mengaharamkan arak, ia juga melibatkan bekas-bekas yang digunakan untuk arak seperti cawan, baling dan sebagainya.Mengapakah nabi mengharamkan termasuk sekali bekas-bekas tersebut, ini adalah kerana supaya masyarakat arab pada zaman itu tidak lagi mengingati arak itu. Sehingga nabi mengatakan : Pecahkan balang-balang tersebut.
Kemudian sahabat berkata kepada nabi yang mana mereka memerlukan bekas-bekas itu.Lalu nabi membenarkan sahabat menggunakan bekas-bekas tersebut.

Terdapat 2 elemen dalam hukum islam:
1. Tetap ثوابت : Tidak boleh diijtihad
2. Berubah متغيرات : Boleh diijtihad

Perantaraan adalah sesuatu yang boleh berubah-ubah dan bukanlah sesuatu yang tetap.Sebagai contoh, di dalam pemilihan hakim atau ketua Negara. Cara pemilihan disini adalah wasilah seperti pilihan raya dan tujuannya pula adalah menjalankan hukum syarie.

Apabila seseorang itu hanya memindahkan hukum-hukum fiqh yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh yang dahulu ke zaman hari ini, ianya tidak menjadikan fiqh itu sesuatu yang fleksibel dalam erti makna lain muasarah.

Kebanyakkan ulama mengetahui bahawa wasilah adalah sesuatu yang boleh diperbaharui, tetapi mereka menzahirkan di hadapan manusia seolah-olah mereka tidak terkeluar daripada mazhab, disebabkan perasaan takut / tersalah ijtihad. Sebagai contoh, tidak wajib ke atas seseorang wanita itu memakai jubah jilbab, namun yang pentingnya adalah menutupi aurat.Maka tidak mengapa jika seseorang wanita itu memakai kabut atau pakaian selain jubah.

Adakah jika kita tidak mengambil berat terhadap wasail yang ditunjukkan nabi s.a.w, dikira sebagai orang yang tidak mengambil berat dengan sunnah ??
• Pertama sekali, kita mesti mengetahui makna sunnah yang mana ianya terbahagi kepada 2 bahagian iaitu :
1. Sunnah yang mencapai tahap fardhu seperti kefardhuan solat isya’ yang sabit dengan sunnah nabi s.a.w.
2. Sunnah yang mncapai tahap sunat seperti wangi-wangian ketika solat.
Jika sesuatu sunnah tersebut mencapai tahap fardhu seperti yang disebutkan di atas, maka ia adalah wajib dan berdosa jika meninggalkannya.

Jika sesutau sunnah itu mencapai tahap sunat, maka ianya adalah tidak wajib dan tidak berdosa meninggalkannya seperti bersiwak.

Terdapat hadis nabi s.a.w :
(البس ما شئت و كل ما شئت.......)

Nabi s.a.w juga memakai pakaian yang diperbuat daripada orang kafir, kerana pada zaman dahulu tidak terdapat dalam kalangan orang islam kilang yang membuat pakaian. Ini menunjukkan ianya adalah wasilah.

Soalan daripada Ust Burhanuddin :

*Adakah wudhu dikira sebagai wasilah ?

Jika sesuatu perkara itu tidak terdapat dalil, maka ianya adalah wasilah.Jika sesuatu itu mempunyai dalil yang qoti’e, maka ianya adalah tujuan ghoyah yang mana tidak boleh diubah-ubah.

Soalan Ust Hasyim :

*Bagaiman pula dengan permasalahan bida’h ?

Bida’h hanya berlaku dalam ibadat.Jika seseorang itu mengakui di dalam hati bahawa perkara yang dilakukannya itu adalah perbuatan yang dilakukan nabi s.a.w, sedangkan perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan nabi s.a.w, maka inilah yang di maksudkan sebagai bida’h.Seperti bida’h di dalam solat, jika seseorang itu mengakui di dalam hatinya bahawa terdapat solat sunat hari rabu, sedangkan nabi s.a.w tidak pernah melakukannya di dalam hayatnya.

Imam Syatibi : membahagikan fiqh kepada 2 iaitu –
1. Adat
2. Ibadat

Maka perkara bida’h hanya berlaku di dalam ibadat iaitu selain perkara yang di maksudkan dengan adat seperti muamalat, dan sebagainya.

*Perayaan menyambut kelahiran nabi s.a.w :

Jika seseorang itu mengakui di dalam hatinya bahawa perbuatan tersebut adalah yang di lakukan baginda sendiri seperti berarak, berqasidah dan sebagainya, maka ianya adalah bida’h.

Jika seseorang tidak mengakui di dalam hatinya bahawa perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh nabi s.a.w, dan hanya untuk menzahirkan kecintaan kepada nabi s.a.w, memperingatinya, maka ianya tidaklah dinamakan sebagai bida’h.

Sesuatu perbuatan itu tidak akan dikira sebagai bida’h jika :
• Diniatkan kerana Allah taala
• Tidak mengakui didalam hati bahawa perbuatan itu dilakukan nabi sedangkan nabi s.a.w tidak pernah melakukannya
• Ibadat tersebut telah disyariatkan dalam syariat islam.

Sebagai contoh dalam masalah solat sunat sebelum jumaat.Sesungguhnya tidak ada dalil bahawa nabi s.a.w melakukannya.Namun ianya tidak dikira sebagai bida’h jika seseorang itu melakukannya kerana Allah taala semata-mata dan tidak menganggap perbuatan tersebut dilakukan oleh nabi s.a.w .

Contoh permasalahan lain yang tidak dikira sebagai bida’h :
1. Terdapat sesetengah pendapat bahawa jika tangga mimbar khutbah melebihi tiga, maka ianya dikira sebagai bida’h.


pendapat seperti ini adalah tidak tepat, ini kerana mimbar itu adalah sebagai wasilah iaitu supaya pendengar jumaat dapat melihat khatib yang sedang membaca khutbah itu.
Sedangkan tidak terdapat nas-nas yang mensyaratkan seperti itu.

2. Masalah azan, adakah ianya wasilah ataupun tujuan ghoyah ? dalam erti kata lain, azan hanya dibolehkan pada waktu solat lima waktu, ataupun dibolehkan pada waktu lain-lain?

Nabi s.a.w telah menyuruh sahabat iaitu Bilal azan bukan pada waktunya. Kemudian semua sahabat datang ke masjid dan bertanyakan kepada nabi mengapakah azan dilaungkan bukan pada waktunya.
Maksud nabi di sini adalah supaya semua para sahabat berkumpul untuk pergi berjihad.
Maka azan disini adalah wasilah supaya umat islam berkumpul.



*soalan : menggantikan muazzin dengan pemain kaset / radio .
Pendapat Dr Syuwess Mahamid : tidak boleh
Pendapat Dr Malik Sa’di : dibolehkan

*Hukum jika seseorang itu melakukan perkara fardhu tanpa melakukan sunat-sunat yang lain ?

Tidak berdosa keatasnya
Terdapat seorang sahabat yang telah datang kepada nabi s.a.w kemudian dia berkata : sesungguhnya beliau tidak melakukan perkara-perkara sunat melainkan solat lima waktu, haji, puasa.Kemudian nabi s.a.w berkata :
(إن صدق دخل الجنة)

Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan bahawa sesiapa yang melakukan perkara fardhu tanpa perkara yang sunat, maka ia tetap dijanjikan syurga.
Barang siapa yang melakukan perkara fardhu dan mengingkari sunnah, maka beliau adalah terkeluar daripada agama islam itu sendiri.Manakala mereka yang melakukan perkara fardhu tanpa perkara-perkara yang sunnah, maka dia tidak dianggap berdoasa.Ini kerana apabila kita kembali kepada ta’rif sunnah, ia merujuk kepada sesuatu yang dilakukan oleh nabi s.a.w yang mana sesiapa yang melakukannya akan mendapat ganjaran dan barang siapa yang meninggalkannya tidak dikira sebagai orang yang berdosa.

*Penjelasan bagi hukum mereka yang meninggalkan sunnah.
Kita mesti membezakan antara pengertian dakwah dan mengajar manusia hukum fiqh. Ianya adalah dua elemen yang berbeza.
Sebagai contoh,
Seseorang yang tidak membaca doa menaiki kenderaan ketika menunggangi sesuatu kenderaan, adakah dia dikira sebagai orang yang berdosa??? Sudah semestinya kita menghukumnya melalui hukum fiqh tidak berdosa.

Kesimpulannya, hukum islam mempunyai 2 elemen iaitu fleksibel-berubah mengikut zaman- dan tetap - tidak berubah mengikut peredaran zaman-.Islam adalah agama yang meraikan waki’ dan berkembang sejurus peredaran zaman.

• Udkhur : adalah sejenis daun yang di gunakan untuk membuat atap rumah

Rabu, 3 Mac 2010

"Dry Clean "

Di saat keserabutan yang melanda fikiran ni, terasa ingin menyampaikan sesuatu kepada orang ramai melalui penulisan.Mungkin kebaikan yang cuba untuk dilakukan ni dapat menghilang segala keserabutan yang melanda.

Kita selalu menghantar pakaian-pakaian yang tidak sempat untuk dicuci ke kedai-kedai mencuci pakaian.Namun tahukah anda bagaimanakah kaedah dry clean yang digunakan kebanyakkan kedai-kedai mencuci pakaian tersebut ???

Pengenalan am Dry clean

Dry cleaning (atau dry-cleaning) adalah setiap muat pembersihan untuk pakaian dan tekstil menggunakan pelarut organik daripada air. Pelarut yang digunakan biasanya tetrachloroethylene (perchloroethylene), disingkat "PERC" dalam industri dan "cecair pembersihan kering" oleh awam. Penatu kimia yang diperlukan untuk membersihkan kotoran-kotoran yang boleh rosak jika digunakan oleh air dan sabun atau deterjen. Bahan ini sering digunakan sebagai pengganti air ataupun sabun

Apabila diperhati kaedah dry clean ini, adakah ianya dibolehkan di sisi syara'.??sedangkan tuntutan syara' didalam bersuci mestilah menggunakan air berdasarkan nas-nas sayrie.

Takyif fiqh

Saya cuba meringkaskan perbahasan ulama-ulama ini yang mana mereka telah berselisih pendapat dalam permsalahan yang mana adakah dibolehkan menyucikan sesuatu itu daripada najis dengan menggunakan segala benda yang bersifat suci serta menanggalkan kotoran tersebut ataupun mestilah dengan menggunakan air.

1. Abu Hanifah dan Abu Yusof berpendapat segala benda yang bersifat suci serta menyucikan ain najis tersebut sama ada dalam bentuk cecair ataupun keras.

2. Maliki dan Syafie pula berpendapat najis yang terdapat pada baju tidak akan menjadi suci seperti mana dalam permasalahan hadas iaitu mestilah menggunakan air ataupun tanah.Maka mereka berpendapat hanya air sahaja yang boleh digunakan untuk menyucikan pakaian daripada najis, jika tidak terdapat air, dibolehkan menggantikannya dengan tanah.

Berdasarkan pendapat-pendapat ulama yang telah disebutkan tadi.Khilaf dalam masalah ini dapat dipecahkan kepada 2 iaitu :

1. Dibolehkan menyucikan najis daripada pakaian dengan menggunakan selain air .

2. Najis pada pakaian tidak akan suci dengan menggunakan bahan selain air.

Apabila kita cuba mengkaji perselisihan pendapat antara ulama ini, ianya adalah berpunca perselisihan faham pada nas-nas yang berkaitan dengan permasalahn ini.Mereka juga telah berselisih pendapat adakah penggunaan air didalam menyucikan najis ini adalah perkara yang taabbudi ataupun bukan.


Perintah membersihkan najis daripada air yang terdapat dalam nas-nas syarie bukan sahaja menunjukkan penyucian tersebut mestilah dengan menggunakan air semata-mata, bahkan terdapat juga nas-nas menerangkan dengan menggunakan selain air seperti mana hadis tentang istinjak, sapu kasut.

Hadis nabi s.a.w :
"إذا جاء أحدكم إلى مسجد فاينظر, فإن رأى في نعليه قذرا أو أذى فليمسحه و ليصل فيهما"

Yang bermaksud :
Jika seseorang daripada kamu datang ke masjid maka lihatlah, jika terdapat kekotoran pada kasutnya itu, maka sapulah ia dan solatlah padanya.

Daripada hadis di atas menunjukkan bahawa nabi s.a.w menjadikan sapu kasut pada tanah itu menunjukkan bahawa bahan selain air boleh di jadikan untuk menyucikan sesuatu.

Pendapat ulama yang mengatakan bahawa penggunaan air itu adalah suatu yang taabbudi adalah tidak berasaskan dalil-dalil syarie.Kias menghilangkan najis dengan masalah mengangkat hadas adalah kias yang tidak tepat.Ini kerana mengangkat hadas adalah perkara yang dituntut dan tidak akan dijatuhkan dengan terlupa,berbeza dengan menyucikan pakaian daripada najis, yang mana ianya bermaksud menghilangkan najis tersebut, dan ianya juga tidak disyaratkan niat, maka selagi mana ianya menghilangkan ain najis tersebut, maka maksud yang dikehendaki oleh syarak tercapai.

Kesimpulannya, harus menyucikan segala jenis pakaian dengan menggunakan segala perantaraan baru seperti dry clean dan lain-lainnya, selagi mana ianya menghilangkan ain najis tersebut dan menanggalkannya, dan tidak menggunakan bahan-bahan yang diperbuat daripada najis.