Khamis, 1 April 2010

Zakat saham syarikat

Saham adalah suatu instrumen yang membentuk bahagian-bahagian di dalam permodalan sesuatu syarikat.Saham mempunyai beberapa nilai iaitu nilai nominal,nilai modal, nilai sebenar, nilai perniagaan.

Ulama telah berselisih pendapat bilakah saham dikira sebagai harta perniagaan urudh tijari dan bilakah ianya dikira sebagai mustaghillat.
Hukum memiliki saham.

Kebanyakkan ulama telah bersepakat didalam membolehkan seseorang memiliki saham di dalam sesuatu syarikat.Ini kerana asas pemilikan saham dalam islam adalah didasari dengan hukum shirkah.Ulama juga telah meletakkan syarat-syarat didalam memiliki saham yang halal disisi syariat islam,antaranya :

1.syarikat tersebut mestilah mempunyai tujuan perniagaan yang disayriatkan,yang mana perniagaan syarikat tersebut mestilah halal disisi syariat islam

2.Syarikat tersebut mesti mematuhi syarat serta rukun yang telah ditetapkan oleh syara’.

Perkara-perkara yang berkaitan tentang zakat saham syarikat :
• Bilakah diwajibkan zakat pada saham syarikat tersebut?
• Siapakah yang wajib mengeluarkannya?
• Adakah di syaratkan cukup tempoh “haul”? Apakah nisbah zakat saham tersebut?

Bilakah diwajibkan zakat pada saham syarikat :

Ulama telah berselisih pendapat di dalam masalah ini :

1.(Muhammad Abu Zahrah,Abd Rahman Hasan,abd wahhab khilaf) Semua saham merupakan harta perniagaan, tanpa melihat kepada tujuan pemilikan saham tersebut.Ini kerana, semua saham adalah merupakan harta perniagaan dan boleh untuk dijual beli seperti barang-barang perniagaan yang lain.Maka diwajibkan zakat padanya serta keuntungan daripadanya.

2.(Syeikh Mustafa Zarqa) Saham yang diiktibar sebagai harta perniagaan adalah saham yang dimiliki secara perniagaan seperti jual beli.Maka diwajibkan zakat pada saham tersebut serta perkembangannya.Jika ianya dimiliki melalui pulangan dari segi keuntungan tahunan atau musim,maka ianya dikira sebagai mustaghilat dan tidak diwajibkan zakat pada saham tersebut melainkan pada hasilnya.

3.(Abd Rahman Hasan)Sebahagian ulama muasarah berpendapat saham-saham syarikat perkilangan seperti : syarikat pengeluaran kereta, motor dan selainnya dikira sebagai harta perniagaan (urudh tijari) tetapi nilainya ditetapkan berdasarkan nilai seperti bangunan, mesin-mesin pengeluaran, dan peralatan-peralatan lain.

4.(Syeikh Yusof Al-Qardhawi) Saham dikira sebagai harta perniagaan (urudh tijari).Diwajibkan zakat terhadap saham tersebut serta perkembangannya jika syarikat tersebut melakukan aktiviti perniagaan,sama ada industri perkilangan mahupun bukan syarikat industri perkilangan.
Berdasarkan perselisihan ulama ini,kebanyakkannya telah bersepakat bahawa saham adalah termasuk didalam harta perniagaan.Maka diwajibkan zakat ke atasnya dan perkembangan saham tersebut.

Namun,mereka telah berselisih pendapat didalam menentukan bilakah saham tersebut dikira sebagai harta perniagaan (urudh tijari) dan bilakah ianya tidak.
Pendapat yang pertama – tidak membezakan antara jenis-jenis saham,dan mengiktibar semua jenis saham syarikat adalah harta perniagaan

Pendapat yang kedua – membezakan antara saham-saham harta perniagaan,dan antara saham-saham yang dikira sebagai mustaghillat.Namun ulama telah berselisih pendapat pada pendapat yang kedua ini pada saham syarikat perkilangan dan syarikat yang menyerupai perkilangan.Jumhur ulama dalam pendapat yang kedua mengatakan nilainya daripada peralatan kilang tersebut seperti mesin-mesin dan sebagainya.Manakala Dr Yusof Al-qardhawi berpendapat bahawa peralatan-peralatan kilang tersebut tidak dikira dalam kewajipan zakat.

Maka, perselisihan ulama yang di sebutkan sebentar tadi,dapat di pecahkan kepada 2 pendapat :

Pendapat 1 – tidak mewajibkan zakat pada nilai syarikat tersebut,namun wajib zakat pada perkembangannya sahaja.(jumhur ulama muasarah)

Pendapat 2 – wajib zakat pada nilai syarikat tersebut dan perkembangannya.
Dalil pendapat 1 :

• Istishab, tidak disebutkan dalam nas-nas syarie mewajibkan zakat keatasnnya.

Menjawab daripada dalil ini,sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman:
(خذ من أموالهم صدقة)
Yang bermaksud :
ambillah sedekah daripada harta-harta mereka

Termasuk daripada ayat-ayat ini mustaghillat kerana ianya juga merupakan harta seperti mana yang disebutkan di dalam ayat.

• Nabi s.a.w bersabda :
(قد عفوت عن صدقة الخيل و الرقيق)
Dalil di atas menunjukkan bahawa hamba dan kuda adalah daripada harta (mustaghillat) dan nabi mengecualikannya daripada zakat,dan begitu juga dengan selain harta-harta(mustaghillat).

Menjawab dalil hadis nabi di atas, yang dimaksudkan didalam hadis adalah harta yang diperolehi kemudian tidak diniagakan dan (yastaghillu).

• Ijmak ulama terdahulu tidak ada yang mewajibkan zakat (mustaghillat).
Menjawab dalil di atas, sesungguhnya saidina Umar telah mengeluarkan zakat pada kuda ketika mana nilai kuda tersebut telah menyamai sejumlah wang yang besar.
Dalil pendapat 2 :

• Dalil kewajipan zakat harta adalah umum, seperti mana dalil-dalil di bawah :
Firman Allah taala :
(خذ من أموالهم صدقة)
Yang bermaksud :
ambillah sedekah daripada harta-hrta mereka

Dan hadis nabi s.a.w :
(اتقوا الله ربكم و صلوا خمسكم و صوموا شهركم و أدوا الزكاة أموالكم)
Yang bermaksud :
bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu, tunaikan solat lima waktu,berpuasalah dibulan ramadhan, dan tunaikanlah zakat harta kamu.

• Illah kewajipan zakat pada harta adalah berkembang. Maksud berkembang disini bukanlah semata-mata makna perkembangan, tetapi harta itu sendiri telah sedia ada berkembang sama ada secara semula jadi seperti emas dan perak, atau dipelihara seperti mengembala haiwan (disisi jumhur). Illah yang disebutkan ini wujud pada saham, maka wajib zakat padanya.

*kesimpulan daripada perbahasan ini, saham-saham ini diwajibkan zakat pada keuntungan serta nilai saham itu sendiri selagi mana peniga itu menjadikannya sebagai perniagaan sama ada ianya syarikat perkilangan atau syarikat jual beli.

Siapakah yang wajib mengeluarkannya?

Terdapat beberapa pendapat ulama di dalam masalah ini :
1. Wajib ke atas pemilik saham
2. Wajib ke atas syarikat tanpa pemilik saham
3. Wajib ke atas syarikat serta pemilik saham
Sebab perselisihan pendapat antara ulama :

Permasalahan ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan perbahasan ulama yang terdapat di dalam kitab-kitab fiqh terdahulu.Mereka yang mewajibkan terhadap pemilik saham tanpa syarikat melihat zakat adalah berkaitan dengan pemilik harta dan bukan pada harta itu. Pendapat yang mewajibkan zakat pada syarikat tanpa pemilik saham melihat zakat adalah berkaitan dengan harta dan bukan pada pemiliknya.

*Di dalam permasalahan ini, kewajipan zakat pada asalnya adalah terhadap mukallif itu sendiri, dan tidak ada larangan jika tanggungan membayar zakat itu di bayar oleh syarikat.Antara sebab-sebabnya ialah :
• Zakat diwajibkan terhadap pemilik harta, dan pemilik saham adalah pemilik yang sebenar
• Di antara syarat zakat adalah mestilah melalui tempoh, maka setiap pemilik saham berlainan tempoh(haul) antara pemilik saham yang lain berdasarkan tarikh mereka miliki saham itu.
• Diantara saham-saham yang menjadikan pemiliknya terkecuali daripada zakat adalah saham-saham wakaf.

Adakah di syaratkan cukup tempoh “haul”?

Pendapat yang mewajibkan zakat ke atas syarikat tidak mensyaratkan cukup nisob serta tempoh “haul”.Manakala mereka yang mewajibkan zakat ke atas pemilik saham tanpa syarikat mensyaratkan dengan cukup nisob dan tempoh “haul” iaitu melalui satu tahun.

Apakah nisbah zakat saham tersebut?

Jika saham itu dikira sebagai urudh tijari, maka nisbahnya adalah 2.5 %
Jika ianya di kira sebagai mustaghillat, maka nisbahnya adalah berdasarkan keuntungan 10 % kias dalam masalah zakat tanaman dan buah-buahan selepas ditolak kerosakan pada mesin-mesin pengeluaran.

1. Urudh tijari : عروض التجاري
2. Mustaghillat : zakat alat-alat dan mesin yang digunakan untuk mengeluarkan produk @ bangunan dan rumah yg disewa.
3. Shirkah : Perkongsian

Rujukan :
1. Fiqh zakat , Dr Yusof Al-Qardhawi
2. Fiqh mustajiddat fi bab al-ibadat , Thahir Yusof Siddiq
3. www.zaharuddin.net

Disediakan : Azmuddin Bin Razali,pelajar tahun 2 fiqh wa usul,university Mu’tah

1 ulasan:

  1. tahniah, mantap penulisan,semoga menjadi ulama.kuatkan ilmu asas/alat.banyakkan pembacaan.

    BalasPadam